| ehadapan Abang yang Zuri sayangi. Abang, Zuri minta maaf kalau Zuri ganggu hari-hari abang yang indah. Zuri tak bermaksud untuk mengganggu hidup abang. Maafkan Zuri. Abang tentu ingat bila pertama kali Zuri bersua Abang. Walaupun jauh, Zuri tahu Abang perhatikan Zuri. Tapi Zuri tak pernah tahu kenapa Abang tak pernah sekali datang pada Zuri untuk menegur. Rupanya Abang pemalu. Kelakar sungguh. Pertama kali Zuri jumpa lelaki pemalu macam Abang. Zuri pula yang jadi segan. Abang pun tahu Zuri ini macam mana. Dengan becoknya, dengan peramahnya. Kadang Abang geleng kepala dengan kenakalan Zuri yang macam kanak-kanak. Tapi Abang tak pernah nak marah. Abang senyum kemudian usap-usap kepala Zuri, macam Zuri budak kecil. Tapi dalam hati ini, Zuri rasa dihargai, disayangi. Sungguh. Jarang orang layan Zuri macam itu. Tapi Abang buat Zuri rasa benar-benar disayangi. Zuri memang suka pada Abang sejak Zuri pandang Abang buat kali pertama. Tapi takkan Zuri nak pergi tegur Abang kan? Jadi Zuri pun biarkan Abang dengan hidup Abang. Dalam diam, luar pengetahuan Abang, Zuri ambil berat tentang Abang. Zuri tanya pada Ila tentang Abang. Zuri bukan bermaksud ingin menggali rahsia Abang. Tidak. Cuma Zuri ingin tahu tentang Abang. Terutamanya, adakah Abang sudah berpunya. Kalau Abang dah berpunya, alangkah malunya Zuri. Ila selalu menyuruh Zuri menegur Abang, bila Abang lalu hadapan kami. Apa yang Zuri buat adalah bersembunyi. Zuri tak sanggup nak bertentang dengan mata Abang yang tajam itu. Debarnya dalam hati, Tuhan saja yang tahu. Zuri takut Abang tahu apa yang tersirat dalam hati Zuri ini. Abang sering hadiahkan Zuri senyum yang sangat manis. Zuri terkadang diawangan bila melihat senyuman Abang. Sungguh! Zuri berhenti dari situ, bukan Zuri mahu lari dari Abang. Atau sesiapa. Zuri dapat tawaran yang lebih baik dan masa depan lebih terjamin. Itu sebab utama. Sebab kedua, tak sanggup nak berdepan dengan Abang. Zuri rasa Abang tahu rahsia hati Zuri. Abang tahu Zuri sukakan Abang. Tapi Abang buat tak tahu. Zuri tak tahu kenapa. Ila selalu marahkan Zuri kerana tidak cuba untuk mendekati Abang, walau seinci. Kad perkahwinan Abang yang Ila beri pada Zuri sebulan sebelum Zuri berhenti, buat Zuri terduduk. Tetapi Zuri tahu salah Zuri tidak berterus-terang. Zuri malu, Abang. Bagaimana Zuri harus buat untuk palingkan hati Abang pada Zuri? Zuri tak tahu. Zuri cuma mampu doakan dan berharap agar Abang bahagia bersama isteri Abang. Bila tawaran lain datang menjemput, Zuri terus pergi. Zuri terlalu banyak hadapi kekecewaan di situ. Jadi biarlah Zuri pergi ke tempat baru. Manalah tahu di tempat baru mungkin ada kebahagian untuk Zuri, walau sedikit. Insya Allah. Zuri tinggalkan tempat kita. Bersama sedikit senyuman yang pernah Abang hadiahkan buat Zuri. Ingatan itu Zuri bawa bersama ke mana sahaja Zuri pergi. Diam-diam dah 2 tahun lebih Zuri di tempat baru. Ingatan Zuri pada Abang datang sekali-sekala. Terutama apabila Zuri melalui tempat di mana kita bekerja. Ingatan Zuri melayang pada Abang. Senyuman Abang tidak pernah Zuri lupakan. Alangkah bahagianya Zuri menerima senyuman dari Abang. Segala gerak geri Abang, terbayang dalam ingatan seperti layar lakonan. Tidak sekali Zuri sangka, hampir 3 tahun kita tidak berjumpa atau bersua muka, tiba-tiba kita boleh menjadi rapat. Ini semua gara-gara Ila. Zuri tidak salahkan Ila sepenuhnya. Memang Zuri selalu bertanya pada Ila tentang Abang. Ila bersungguh mahu berikan nombor telefon Abang pada Zuri. Zuri menolak pada mulanya. Zuri tak mahu ganggu Abang. Paling Zuri takut Abang tidak akan melayan Zuri. Tetapi Zuri fikir apa salahnya Zuri hubungi Abang untuk bertanya khabar? Satu mesej untuk Abang dan Abang membalasnya menjadi titik permulaan. Perbualan yang singkat menjadi detik keramat. Zuri cuma berpendapat, kita akan rapat sebagai teman yang pernah bekerja di satu tempat yang sama. Zuri ingat kita akan berbual sebagai kawan biasa. Zuri rasa macam bermimpi sahaja dapat berbual dengan Abang. Mendengar suara Abang buat kali pertamanya, Zuri rasa bahagia. Zuri rasa mimpi jadi nyata. Dari perbualan telefon disusuli satu pertemuan. Seronoknya Zuri malam itu. Kita berbual banyak perkara. Kita berbual tentang bagaimana Zuri sedar kehadiran abang. Masa lama terasa sangat singkat. Waktu berpisah tersangatlah berat. Zuri pandang Abang dari jauh dengan perasaan yang bercampur. Tetapi, entah kenapa Zuri jadi sangat berani. Berterus-terang pada Abang. Walaupun Zuri tahu Abang sudah dimiliki. Maafkan Zuri. Namun tidak terlintas di hati Zuri untuk menjadi suri hidup Abang. Gilakah Zuri mahu tumpang sedikit kasih sayang Abang? Zuri tahu abang sayang pada Zuri pun, dah memadai. Abang tidak sedikit pun kisah. Abang terima Zuri seadanya. Zuri tak pandai meneka, sama ada Abang punya rasa yang sama atau mahu menjaga hati Zuri. Bagaimanapun Zuri bahagia dengan kasih sayang Abang. Zuri tahu hidup berkongsi bukannya suatu yang indah. Kita tidak boleh berpacaran seperti orang lain. Tidak boleh hubungi Abang waktu Abang bersama isteri Abang. Dan 1001 macam syarat yang lain. Zuri sedih. Tapi Zuri kena terima semua itu kerana Zuri sayangkan Abang. Sungguh Abang. Zuri sangat sayangkan Abang, biarpun Zuri tahu Zuri takkan dapat menjadikan Abang suami Zuri. Zuri juga tidak mahu menghancurkan rumah tangga Abang. Tidak ada sekelumit niat Zuri untuk menghancurkan kebahagiaan Abang. Maafkan Zuri kerana Zuri jatuh cinta pada Abang. Abang, Zuri tidak tahu apa kesudahan cerita kita. Zuri tidak mampu untuk menghilangkan cinta dari hati Zuri untuk Abang. Zuri harap satu hari Zuri dapat kekuatan untuk menguburkan cinta Zuri pada Abang. Maafkan Zuri sekiranya Zuri mengundur diri kerana bukan Zuri tidak sayang pada Abang. Zuri tidak mampu membina kebahagiaan atas air mata orang lain. Zuri pernah merasakan peritnya cinta itu. Sementara waktu itu, Zuri akan selalu menyayangi Abang. Abang masih punya tempat istimewa dalam hati Zuri. Kasih sayang dan perhatian Abang akan Zuri hargai selamanya. Terima kasih Abang kerana menyayangi Zuri walaupun hanya untuk sementara waktu. Zuri tahu Abang tahu, tapi Zuri takkan jemu untuk katakan Zuri sayangkan Abang. Salam istimewa dari Zuri buat Abang. Moga berbahagia selamanya. -------------- takdetandatangan |
Nice tO meet U Here, Keep N tOUCH..
sTAY cOOL N tKE cARE
bYE !!